fbpx

Sedar ditipu ‘scammer’ selepas deposit ratusan ribu ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUCHING – Seorang pesara kerajaan dan kerani hanya menyedari menjadi mangsa ‘scammer’ selepas masing-masing memasukkan ratusan ribu ringgit wang ke akaun sindiket penipuan itu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya menerima laporan daripada kedua-dua mangsa kes berasingan itu semalam, dengan kes pertama melibatkan lelaki berusia dalam lingkungan 70-an, yang merupakan pesara kerajaan.

Katanya, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang mengaku dari syarikat kurier pada 24 Ogos lalu dan menyatakan mangsa menerima bungkusan pos berisi kad pengenalan dan kad-kad bank.

Namun katanya, mangsa yang pada awal menafikan terus disambungkan kepada ASP Moktar dari Balai Polis Ipoh, Perak yang menyatakan terdapat waran tangkap atas nama mangsa kerana melakukan jenayah pengubahan wang haram dan mengarahkan mangsa melakukan pemindahan wang ke beberapa akaun bank yang berbeza bagi tujuan siasatan.

“Mangsa kemudian melakukan empat transaksi pindahan wang berjumlah kira-kira RM103,000 ke dua akaun bank berbeza pada penghujung Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah suspek turut mengarahkan mangsa memadamkan semua perbualan WhatsApp serta membuang resit pindahan wang yang dilakukannya, dan mangsa hanya menyedari ditipu setelah memberitahu perkara berkenaan kepada ahli keluarganya.

Sementara, Mohd. Azman berkata, kes kedua melibatkan wanita berusia dalam lingkungan 60-an, yang merupakan kerani sebuah syarikat setelah dia menerima panggilan dari seorang wanita yang tidak dikenali mengaku dari Kementerian Kesihatan (KKM) pada 10 Ogos lalu.

Katanya, suspek menyatakan mangsa telah mengambil ubat tahan sakit dalam kuantiti banyak, namun suspek yang turut menafikannya terus disambungkan kepada Sarjan Azlan dari IPK Perak.

Beliau berkata, suspek menyatakan terdapat waran tangkap atas nama mangsa kerana melakukan jelayah pengubahan wang haram, serta mengarahkan mangsa membuat pindahan wang ke beberapa akaun bagi tujuan siasatan.

“Mangsa kemudian melakukan sembilan transaksi pindahan wang berjumlah kira-kira RM280,000 ke tiga akaun bank yang berbeza pada pertengahan Ogos sehingga awal September.

“Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari ditipu setelah suspek gagal dihubungi selepas kali terakhir dia melakukan transaksi pindahan wang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI