fbpx

Rakyat Borneo cukup hebat sekali – Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lambaian mesra Al-Sultan Abdullah kepada warga Sibu di perkarangan Pasar Sentral Sibu sebelum berangkat ke Sri Aman, hari ini.

SIBU – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyatakan terharu dengan sambutan daripada rakyat Borneo, yang sanggup menunggu keberangkatan baginda sekeluarga.

“Terima kasih kepada penduduk Miri, Bintulu dan Sibu, saya cukup terharu dengan sambutan luar biasa dari hati ikhlas, rakyat Borneo ini cukup hebat sekali, sanggup menunggu keberangkatan keluarga saya.

“Daripada Tawau sehingga Sibu saya memandu sendiri sekitar 1,700 kilometer dan Raja Permaisuri seorang ‘co-pilot’ yang baik, menulis segala baik buruk sepanjang perjalanan.

“Saya tak boleh jabat tangan semua, namun semoga lambaian itu kekal dalam hati dan nurani kita,” titah baginda dalam Majlis Santapan Malam Bersama Komuniti di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), di sini, malam tadi.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong mendendangkan lagu Pesanan Buat Kekasih dan Gurindam Jiwa dalam Majlis Santapan Malam Bersama Komuniti di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) di Sibu, malam tadi.

Sementara sempena majlis, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mendendangkan lagu Pesanan Buat Kekasih dan Gurindam Jiwa.

Malah, kejutan dibuat untuk sambutan ringkas Hari Keputeraan paduka anakanda, Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah hari ini dan Hari Keputeraan Putera Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada 17 September 2023 kelak.

Pada hari ini, Pasar Sentral Sibu menjadi lokasi terakhir persinggahan rombongan Diraja sempena Kembara Kenali Borneo di wilayah tengah Sarawak.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah bersama anakanda baginda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah pada pukul 8.46 pagi tadi disambut oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di hadapan pintu utama pasar terbesar di Sarawak itu.

Turut serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta kenamaan-kenamaan lain.

Setibanya di pasar tersebut, Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan simbolik menandatangani plak Kembara Kenali Borneo diikuti anakanda baginda, Tengku Hassanal mewakili Raja Permaisuri Agong yang tidak dapat bersama mengikuti persinggahan terakhir itu.

Rombongan Al-Sultan Abdullah diiringi Premier Sarawak berkenan mencemar duli mengunjungi ke beberapa gerai penjaja di situ yang terkenal dengan jualan kraftangan, kuih-muih, makanan laut, sayur-sayuran dan buah-buahan segar.

Lawatan ringkas itu untuk menyantuni rakyat di Sarawak dengan lebih dekat, sejajar dengan matlamat utama Kembara Kenali Borneo.

Orang ramai juga tidak melepaskan peluang bergambar dan bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong serta anakanda baginda.

Usai lawatan berkenaan, baginda berkenan berangkat ke Sri Aman pada pukul 10 pagi untuk santapan tengah hari dan menunaikan solat fardhu Zohor di Masjid Bandar Sri Aman disusuli melawat kubu Fort Alice sebelum menuju ke hotel penginapan di Kuching. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI