fbpx

PRK DUN Pelangai: Empat daripada enam nama diteliti – Wan Rosdy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN ROSDY (berdiri dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang mahasiswa pada program agihan bantuan Prihatin Pahang Kluster Siswa di Dewan Felda Kemasul di Bentong semalam.

BENTONG – UMNO sedang meneliti empat calon yang akan dipilih bagi mewakili Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, calon bagi PRK berkenaan akan diumumkan sebelum 23 September ini.

“Calon masih lagi (diteliti) daripada enam tinggal empat dan masih lagi diperhalusi dan saya akan bincang dengan Presiden parti (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sebelum dimuktamadkan.

“Kriterianya banyak, antaranya ialah wali, boleh menang, diterima dan disukai,” katanya pada program agihan bantuan Prihatin Pahang Kluster Siswa di Dewan Felda Kemasul di sini semalam.

Ditanya mengenai isu calon tempatan beliau yang juga Pengerusi BN Negeri berkata, ia perkara biasa setiap kali pilihan raya.

Katanya apa yang penting adalah calon yang akan dipilih nanti adalah calon terbaik yang dapat memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Kerusi N36 DUN Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Susulan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober depan hari pengundian untuk DUN Pelangai.

Johari yang merupakan tokoh korporat berjaya dan kali pertama bertanding mewakili BN pada PRU15 lalu menang di kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.

Allahyarham menewaskan calon Perikatan Nasional, Kasim Samat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) 2,031 undi dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang memperoleh 65 undi. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI