PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan terlebih dahulu kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi menyiasat dakwaan salah laku membabitkan kes pendaftaran nombor klasik kenderaan.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, jika wujud elemen rasuah dan salah laku barulah pihaknya masuk campur dan menyiasat perkara itu.
Beliau berkata, ketika itu, MOT sudah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kes berkenaan seperti diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, baru-baru ini.
“Biar pasukan petugas khas MOT siasat dulu dakwaan itu. Pada masa sama, saya minta pegawai saya teliti balik kenapa perkara itu berlaku.
“Tak silap saya ada satu laporan dibuat sebelum ini kemungkinan daripada laporan audit kementerian.
“Kalau berdasarkan daripada situ (laporan audit), bermakna sudah ada laporan polis berkenaan isu itu dan pihak kementerian sudah tahu perkara itu,” katanya pada sesi temubual khas di sini, hari ini.
Katanya, beliau difahamkan, kelulusan pengeluaran nombor pendaftaran klasik ini diluluskan oleh seorang menteri ketika itu.
Azam berkata, jika ia (pengeluaran nombor pendaftaran klasik) mendapat kelulusan menteri maka, itu hak seorang menteri.
“Jadi, kalau menteri meluluskan, itu hak dia untuk meluluskan. Jadi biarlah pasukan penyiasat siasat ada tak elemen salah guna kuasa atau rasuah di sini, baru kita masuk,” katanya. – KOSMO! ONLINE