KUALA LUMPUR – Kira-kira 20 pengamal media berkumpul di pekarangan bangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), KL Sentral sejak pukul 9 pagi ini bagi membuat liputan rakaman keterangan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Rakaman keterangan terbabit dibuat susulan ucapannya berkaitan ‘fatwa’ politik dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kempas, Johor, 2 September lalu.
Muhyiddin yang diiringi polis escort dilihat tiba di pekarangan bangunan MIDA pada pukul 9.28 pagi ini.
Bagaimanapun, seorang individu yang mendakwa dirinya selaku pegawai media MIDA telah bertindak menyekat pengamal media daripada membuat liputan.
Difahamkan, keterangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) terbabit akan diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Muhyiddin menerusi ceramah PRK berkenaaan menyifatkan tindakan mengundi bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat sebagai haram.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, temu janji untuk rakaman percakapan Muhyiddin ditetapkan pada semalam.
“Rakaman percakapan akan dijalankan di pejabat beliau di bangunan MIDA, KL Sentral.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-undang (D5), JSJ Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan. -KOSMO! ONLINE