RAWANG – Seorang pemandu treler cedera parah apabila kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan berhampiran plaza tol di Lebuh Raya Guthrie, dekat sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.42 petang.
Ujarnya, seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah lori treler jenis Scania yang membawa muatan kontena terbabas dengan sendirinya di bahu jalan.
“Mangsa, Kanda Rozaini, 39, dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE