fbpx

Pasukan petugas khas bantu reformasi peguam negara, pendakwa raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina ketika mempengerusikan mesyuarat yang diadakan pada hari ini.

PUTRAJAYA – Dua pasukan petugas khas ditubuhkan dalam usaha mereformasikan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dalam memastikan tadbir urus demokratik yang lebih mantap dan meningkatkan pentadbiran undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau hari ini, dua petugas khas itu adalah Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal.

Katanya, pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya akan melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada serta peraturan-peraturan berkaitan selain membawa implikasi kewangan dan perjawatan yang besar kepada kerajaan.

“Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dicadangkan terdiri daripada saya sendiri serta wakil Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, wakil blok pembangkang, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU).

“Petugas khas ini menjalankan kajian berdasarkan keterangan ‘evidence-based research’ ke beberapa negara seperti England, Australia, Kanada dan Kenya.

“Ini bagi mendapatkan maklumat lanjut yang tidak dapat diakses melalui data terbuka kajian amalan terbaik global ‘global best practices’,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, bagi Pasukan Petugas Khas Teknikal pula akan meneliti secara komprehensif mengenai implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan. Pasukan Petugas Khas Teknikal ini dicadangkan dikendalikan sepenuhnya oleh AGC dan BHEUU.

“Pasukan Petugas Khas Teknikal akan menyediakan Laporan Interim dalam tempoh satu tahun mengenai Kajian Empirikal Komprehensif Pengasingan Peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara termasuk mengambil kira hasil kajian berdasarkan keterangan dan pembentangan hasil Kajian Empirikal untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” ujarnya.

Azalina berkata, sesi libat urus serta perbincangan bersama pihak-pihak pemegang taruh lain seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pihak-pihak lain akan diadakan oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal daam masa terdekat.

“Agenda reformasi ini penting dalam memastikan tadbir urus demokratik yang lebih mantap dan meningkatkan pentadbiran undang-undang selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan pentadbiran, sistem perundangan dan tata kelola yang baik,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI