JAKARTA – Sebuah lagu kanak-kanak berjudul Helo Kuala Lumpur mengundang kritikan netizen Indonesia kerana dikatakan menciplak lagu patriotik negara itu, lapor portal berita Okezone hari ini.
Lagu tersebut dimuat naik di laman perkongsian video YouTube pada 30 Jun 2018 menerusi saluran Lagu Kanak TV.
Ia dikatakan meniru lagu asal bertajuk Halo-Halo Bandung ciptaan Ismail Marzuki.
Menurut laporan, lirik lagu tersebut berkisar perjuangan para pahlawan kemerdekaan di Bandung, wilayah Jawa Barat semasa menuntut kemerdekaan Indonesia.
Lagu Helo Kuala Lumpur yang mempunyai lirik hampir serupa dengan Halo-Halo Bandung selain irama yang sama membuatkan netizen Indonesia menuduh ia diciplak.
Lagu tersebut kini menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Negara jiran ini tidak mempunyai identiti khas. Hanya tahu mencuri identiti negara kita. Tindakan perlu diambil,” kata seorang netizen. – AGENSI