fbpx

Najib, Arul Kanda kekal bebas tuduhan pinda laporan 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib (kiri), Arul Kanda (kanan).

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy kekal lepas dan bebas tuduhan meminda Laporan Pengauditan Akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mengikut masa yang ditetapkan untuk memfailkan notis rayuan.

Ia dianggap luput serta terbatal.

Tarikh akhir bagi pendakwaan memfailkan petisyen rayuan ialah dalam masa 14 hari selepas rekod rayuan diperoleh iaitu pada 6 Julai lalu.

Terdahulu, ketika membaca keputusan, Hadhariah berkata, berdasarkan kronologi, mahkamah sebelum ini menetapkan tiga pengurusan kes iaitu pada 21 Julai, 28 dan 30 Ogos lalu.

Pada masa sama, perayu iaitu pendakwaan telah diberikan arahan untuk memfailkan petisyen rayuan, namun mereka gagal untuk mematuhi arahan mahkamah.

Katanya, sebarang permohonan untuk lanjutan masa perlu dibuat sebelum tamat tempoh pemfailkan petisyen.

“Mengikut undang-undang (Seksyen 53(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964), apabila suatu petisyen rayuan gagal difailkan dalam tempoh yang ditetapkan dan tiada pemohonan lanjutan masa dibuat, maka rayuan itu dianggap luput dan terbatal.

“Oleh kerana kes ini dibawa ke panel, kami dengan ini membuat perintah bahawa kedua-dua notis rayuan dibatalkan,” katanya.

Arul Kanda berjabat tangan selepas tamat prosiding sebutan kes rayuan pihak di Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini. – Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

Dalam prosiding hari ini, dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Najib diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sementara peguam, Datuk N. Sivananthan bertindak bagi pihak Arul Kanda selaku responden.

Pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim.N

Najib, 70, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya dalam perjalanan operasi 1MDB.

Bekas Perdana Menteri itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang dimuktamadkan Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Kesalahan dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari, 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

AArul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Pada 3 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda atas pertuduhan meminda laporan audit 1MDB, tujuh tahun lalu

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI