KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tersenyum setelah memberi keterangan kepada pihak polis pada pukul 10.25 pagi di pejabat sebuah agensi kerajaan di Jalan Sentral, di sini, hari ini.
Keterangan itu adalah bagi membantu siasatan berhubung ucapan beliau ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 2 September lalu.
Muhyiddin ketika ditanya berhubung proses keterangan hari ini hanya menunjukkan ‘thumbs up’ dan mengangguk sebelum bergerak keluar dari pekarangan bangunan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain berkata, proses merakam keterangan berhubung dakwaan kenyataan Muhyiddin bahawa ‘haram’ mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat selesai sepenuhnya.
“Polis akan lengkapkan siasatan untuk dihantar ke Jabatan Peguam Negara.
“Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Muhyiddin dilihat tiba di pekarangan bangunan agensi itu pada pukul 9.28 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire. – KOSMO! ONLINE