fbpx

Misi dua dalam satu skuad pelayaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR SHAZRIN antara atlet pelayaran negara yang akan mengambil bahagian pada Sukan Asia Hangzhou di China dari 23 September hingga 8 Oktober depan.

SKUAD pelayaran negara mempunyai misi besar pada Sukan Asia Hangzhou di China dari 23 September hingga 8 Oktober depan dengan matlamat memburu dua slot ke pentas Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Selain menyambar tiket kelayakan bagi kategori ILCA 6 dan ILCA 7, Persatuan Pelayaran Malaysia turut menyasarkan membawa pulang satu pingat emas, satu perak satu gangsa daripada enam acara disertai di Hangzhou.

Bagi memastikan misi serampang dua mata itu berjaya direalisasikan, kem pelayaran negara terdiri daripada tujuh atlet dan tiga pegawai ‘terbang’ awal ke Hangzhou pada 9 September lalu.

Pengurus pasukan, Lawrence Yeow Eng Leong berkata, ia sudah menjadi kebiasaan buat skuad pelayaran bergerak lebih awal ke mana-mana temasya kerana perlu membuat persediaan rapi di venue pertandingan.

“Ini adalah penting bagi memastikan pasukan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan laut dan cuaca di gelanggang pertandingan yang akan diadakan di Pusat Pelayaran Ningbo Xiangshan.

“Ia berbeza daripada keadaan latihan yang dijalankan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi. Atlet kita perlu cepat mengadaptasi supaya mereka dapat pamerkan persembahan terbaik semasa pertandingan.

“Pasukan komited dan kekal fokus yang tinggi dalam latihan. Kami juga yakin atlet-atlet akan memberikan aksi yang terbaik sepanjang Sukan Asia edisi ke-19 nanti,” katanya.

Skuad pelayaran berjaya menuai satu pingat emas menerusi Muhammad Fauzi Kaman Shah dalam kelas ILCA 4, satu perak dan tiga gangsa sewaktu Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Selain Fauzi, enam pelayar turut menjadi sandaran kali ini adalah Khairulnizam Mohd. Affendy, Nur Shazrin Latif, Muhammad Asnawi Iqbal Adam, Juni Karimah Noor Jamali, Muhammad Izzudin Abdul Rani dan Tengku Nuraini Ezaty bt. Tengku Khairudeen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN