PENGALAMAN berjaya menewaskan Thailand ketika aksi separuh akhir pertama Kejuaraan AFF 2022 awal tahun ini bakal menjjadi ‘modal’ utama buat pemain pertahanan bawah 23 tahun (B-23) negara, V. Ruventhiran untuk menghadapi skuad Gajah Perang pada aksi terakhir kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Chonburi malam ini.
Di sebalik kemenangan bersih dan kekal tanpa bolos pada dua aksi awal Kumpulan H iaitu menang ke atas Bangladesh 2-0 serta Filipina 4-0 sebelum ini dianggap sebagai latihan buat skuad negara memandangkan Thailand dilabelkan sebagai pencabar terkuat pada edisi kali ini.
“Dalam dua perlawanan lalu, kami sudah melakukan tugas dengan baik dan ia seperti aksi persiapan sebelum menghadapi tugasan lebih besar menentang Thailand. Sudah pasti ia adalah perlawanan penting buat kami.
“Ia adalah aksi derbi dan kami mahu menang. Thailand adalah pasukan hebat, namun saya ada pengalaman menewaskan mereka semasa Piala AFF,” katanya.
Ketika skuad senior Harimau Malaya pernah menewaskan Thailand, di peringkat umur B-23 pula Malaysia seakan sedang membawa misi berganda untuk membalas dendam selepas dikecewakan oleh lawan sama ketika di pentas Sukan SEA dan Kejuaraan AFF.
Pada Sukan SEA, Thailand menang 2-0 bagi aksi Kumpulan B dan menang 4-3 menerusi sepakan penalti pada penentuan tempat ketiga dan keempat Kejuaraan AFF.
“Bagus apabila kami konsisten ketika mengharungi dua perlawanan tanpa bolos, namun semua itu tidak cukup dan perlu ditambah baik lagi apabila menghadapi Thailand.
“Saya sedar tekanan adalah tinggi dihadapi pemain, namun kepada semua penyokong, jangan risau kerana kami akan memberikan prestasi sehabis baik untuk menang,” kata Ruventhiran.