fbpx

Loteng jadi tempat sorok anak dara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zamira menunjukkan loteng yang dijadikan tempat menyembunyikan gadis daripada tentera Jepun ketika ditemui di Rembau baru-baru ini.

REMBAU – Orang terdahulu mempunyai pelbagai cara untuk mengelak menjadi mangsa kekejaman tentera Jepun dan salah satunya ialah membina rumah yang mempunyai loteng supaya dapat menyembunyikan gadis-gadis daripada dianiaya.

Waris penghulu Kampung Pedas, Zamira Shahbudin, 40, berkata, kemaraan tentera Jepun di Tanah Melayu sekitar tahun 1940-an menjadikan penduduk terutama anak gadis risau dan gelisah kerana kemungkinan dirogol.

Katanya, ketika Jepun tiba di kampung itu, moyangnya yang dikenali sebagai Subuh pantas menyembunyikan sehingga 20 anak dara di atas loteng rumah.

“Rumah pusaka odang (mo­yang) Subuh dan Molek Said berusia hampir 100 tahun dan dinamakan Zamira Dapur Kayu. Ia menyimpan sejarah paling besar buat keluarga dan penduduk setempat ketika zaman penjajahan Jepun.

“Ibu saya, Jamila Saham, 68, menceritakan anak gadis kampung disembunyikan sepanjang tentera Jepun masuk ke kampung di loteng rumah,” kata bekas pramugari Tentera Udara Diraja Malaysia itu ketika ditemui di sini.

Menurut Zamira, tentera Jepun tidak mampu untuk masuk ke bahagian dalam rumah tempat loteng dibina kerana dihalang oleh combi door yang menggunakan kayu pokok punak.

Tambahnya, combi door tidak dapat ditembusi kerana ia di­selak dengan kayu yang kukuh sehingga dapat menyelamatkan anak-anak gadis daripada diapa-apakan tentera Jepun.

“Ketika itu tidak ada cara lain untuk menyelamatkan mereka dan tindakan tok dang (odang) saya selaku ketua kampung me­rupakan tindakan terbaik ketika itu,” katanya.

Ujar Zamira, rumah itu yang juga dikenali sebagai rumah Wan Ineh mendapat perhatian ahli akademik universiti tempatan untuk dibuat kajian ekoran wa­risan tradisi dan nilai sejarah yang dimilikinya.

“Rumah itu merupakan kombinasi dua negeri iaitu Ne­geri Sembilan dan Melaka. Kita menjaga keaslian rumah ini de­ngan mengekalkan cat, tangga dan reka bentuk asal tempat tinggal nenek moyang kami.

“Cuma tangga lotengnya sahaja dikeluarkan bagi tujuan ke­selamatan,” katanya.

Menurut Zamira, dia juga me­ngusahakan kedai makan di situ dan pelanggan boleh menikmati juadah di atas rumah tersebut sambil mengimbau sejarah ketika zaman penjajahan Jepun ke Tanah Melayu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI