BANGKOK, Thailand – Seorang lelaki berusia 55 tahun selamat selepas dilanggar sebuah kereta api di stesen terbiar Khlong Khwang Klan, wilayah Chachoengsao semalam, lapor laman berita Thaiger.
Mangsa yang dikenali sebagai Somboon, bernasib baik kerana tercampak ke dalam terowong sempit di bawah platform stesen tersebut selepas dilanggar kereta api barang.
Operasi menyelamat mengambil masa 40 minit sebelum mangsa dibawa ke sebuah hospital berdekatan.
Pasukan kecemasan bagaimanapun menghadapi kesukaran membawa keluar mangsa kerana keadaan terowong yang sempit dengan anggaran lebar 30 sentimeter selain dia tidak dapat bergerak.
Tidak dipastikan bagaimana Somboon berada di platform tersebut kerana dia kebiasaannya dikatakan pergi ke situ sambil ditemani isterinya disebabkan mengalami masalah kesihatan mental.
Tren tersebut meneruskan perjalanan ke pelabuhan Laem Chabang selepas kemalangan berlaku. – AGENSI