fbpx

Kerajaan perlu bantu industri kecil halal tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap merasmikan GHaS 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan anggota kerajaannya untuk membantu merangsang industri kecil halal yang masih tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam pasaran global yang dilihat salah satu pasaran yang mampu mengaut keuntungan yang besar kepada negara.

Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan itu lagi, industri kecil halal negara mampu untuk mengaut keuntungan secara global dijangka bernilai kira-kira AS$1 trilion (RM4.68 trilion).

“Kita lihat industri halal dunia sekarang tidak terbantut hanya kepada negara-negara Islam semata-mata, malah penyertaan daripada gergasi ekonomi utama dunia seperti Jepun, China dan Korea Selatan.

“Industri halal ini bukan hanya mengenai kaedah pengeluaran, pensijilan. Kita juga perlu mewujudkan peluang kepada perniagaan kecil (halal), mereka dari Tanjong Karang (Selangor) sehingga ke Manik Urai (Kelantan) mereka semua kita mesti bantu,” jelasnya ketika berucap merasmikan Global Halal Summit (GHaS) 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Tambahnya lagi, Malaysia kini sedang menyasarkan untuk menjadi peneraju pasaran halal dunia yang dianggarkan melepasi paras US$1 trilion (RM4.68 trilion) menjelang tahun hadapan apabila permintaan terhadap produk halal ketika ini semakin berkembang bersama penduduk Islam di dunia.

“Pasaran yang besar telah menarik minat perdagangan walaupun oleh negara-negara dengan penduduk Islam yang kecil antaranya Korea Selatan dan Jepun,” jelasnya.

Terdahulu, GHaS 2023 yang diadakan bermula 9 September sehingga 15 September ini merupakan platform kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama 71 badan persijilan halal luar negara untuk bertukar pandangan dan juga berbincang isu berkaitan industri halal.

Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2023 edisi ke-19 yang dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) merupakan pameran halal terbesar dunia, menghimpunkan pemain utama industri halal global. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI