WASHINGTON – Sebuah kenderaan yang mengiringi konvoi Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat (AS), Jennifer Granholm terlibat dalam perbalahan mengenai stesen pengecas kereta elektrik di Agusta, Georgia, lapor portal berita Fox News semalam.
Kejadian berlaku apabila pekerja Granholm meletakkan kenderaan berkuasa petrol untuk menghalang kereta lain daripada memasuki petak parkir sebuah stesen pengecas kereta elektrik awal musim panas tahun ini.
“Namun, di antara hentian, rombongan Granholm ada kalanya terpaksa bergelut dengan batasan (stesen pengecas elektrik ),” tulis Camila Domonoske yang mengikuti perjalanan Setiausaha Tenaga tersebut.
Selepas pekerja Granholm menyedari tidak ada tempat pengecasan yang mencukupi untuk kenderaan elektrik di perhentian berhampiran Augusta, seorang kakitangan Jabatan Tenaga AS cuba meletakkan kenderaan bukan elektrik di salah satu parkir pengecas yang berfungsi bagi menempah tempat untuk kenderaan elektrik yang dinaiki Setiausaha Tenaga itu.
“Tindakan itu gagal. Kereta berkuasa petrol menghalang satu-satunya tempat kosong untuk pengecas (elektrik)? Sebuah keluarga yang pada hari panas terik dengan bayi di dalam sebuah kenderaan (elektrik) tiba untuk mengecas kereta mereka.
“Keluarga itu sangat kecewa dengan tindakan tersebut dan menghubungi polis,” kata Domonoske
Akhirnya, pasukan Granholm mengalah dan membenarkan keluarga itu turut mengecas kereta elektriknya.
Ketika kejadian, Granholm dalam perjalanan selama empat hari dari Carolina Utara ke Tennessee dengan tujuan menarik perhatian kepada peruntukan berbilion-bilion dolar oleh White House untuk industri tenaga hijau dan kereta elektrik. – Agensi