fbpx

Kasih Malaysia sumbang RM10,000 untuk Pusat Jagaan Titian OKU Nur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Wan Azizah (tengah) menyerahkan replika cek bernilai RM10,000 kepada Normah, di Pusat Jagaan Titian OKU Nur, Rawang, Selangor, hari ini.

RAWANG – Pusat Jagaan Titian Orang Kurang Upaya (OKU) Nur yang menempatkan seramai 86 penghuni menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Pertubuhan Kebajikan Amal Silatulrahim Isteri-Isteri Harapan (Kasih Malaysia), di sini, hari ini.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail merangkap Pengerusi Kasih Malaysia berkata, selain wang tunai, sumbangan lain yang turut disampaikan dalam Program Kunjungan Merdeka Kasih ini adalah cadar, makanan, lampin pakai buang dan barang kelengkapan diri.

Ujar beliau, pihaknya memilih tempat ini kerana sudah lama ditubuhkan dan sememangnya memerlukan sumbangan untuk terus beroperasi.

“Kami (Kasih Malaysia) yang terdiri daripada isteri-isteri menteri dan bekas menteri berusaha mencari tempat-tempat untuk kita sampaikan sumbangan.

“Kita lihat Puan Normah (pengasas Pusat Jagaan Titian OKU Nur) telah lama menubuhkan tempat ini, tetapi untuk dapat sumbangan itu banyak syarat-syarat yang perlu dia penuhi.

“Kasih Malaysia hari ini berbesar hati dapat menyampaikan sumbangan bagi membantu mengurangkan bebanan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Menurut Dr. Wan Azizah lagi, beliau berharap usaha-usaha sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang untuk membantu lebih ramai masyarakat memerlukan.

Dalam pada itu, pengasas Pusat Jagaan Titian OKU Nur, Normah Adlan berkata, dia sangat bersyukur Kasih Malaysia sudi memberikan sumbangan untuk 92 penghuni termasuk pekerja yang menetap di rumah ini.

Ujarnya yang telah mengasaskan pusat jagaan ini selama 20 tahun, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM50,000 bagi perbelanjaan sebulan meliputi makanan, penyelenggaraan rumah dan lain-lain.

“Dekat sini kami ada pelbagai lingkungan usia dari bayi sampai ke umur 90 tahun. Semuanya 100 peratus OKU. Ada yang keluarga, hospital dan pertubuhan bukan kerajaan yang hantar.

“Sebelum ini memang kami usaha sendiri untuk beroperasi. Tapi sejak 2019 kami terima sumbangan daripada Majlis Agama Islam Selangor.

“Alhamdulillah saya memang sangat-sangat tidak sangka Kasih Malaysia nak beri sumbangan. Sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB Bank bernombor 8000519387 atau hubungi Normah di talian 012-6731816. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI