HULU SELANGOR – Seorang guru sekolah rendah menemui ajal apabila kereta Proton Ertiga dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar tiang lampu di Kilometer (km) 7.5 Pintasan Rawang menghala ke Serendah, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah hari ketika mangsa berusia 39 tahun dalam perjalanan ke rumahnya yang terletak di Serendah.
Ujarnya, mangsa yang bertugas di Sekolah Rendah Bukit Beruntung 1, baru sahaja pulang dari Hospital Selayang untuk mengambil darah.
“Mangsa sedang jalani dialisis dan pergi ke Hospital Selayang seorang diri untuk mengambil darah. Sampai di tempat kejadian, pemandu hilang kawalan lalu melanggr tiang lampu di sebelah kiri jalan.
“Guru lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kuala Kubu Bharu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan kepada pihak polis,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE