fbpx

Garis Panduan Khas kendali kes kesalahan seksual kanak-kanak dikemas kini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina (tengah) ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan menghadiri sesi pembentangan secara tertutup di CIC, Bukit Aman. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengemas kini Garis Panduan Khas untuk Mengendalikan Kes Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dengan menerbitkan versi baharu pada Januari 2024 depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia sebagai usaha berterusan untuk memastikan sistem keadilan jenayah di Malaysia kekal mengutamakan kanak-kanak.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri akan bekerjasama dengan Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) untuk tujuan berkenaan.

“Ia dilaksanakan dengan mengambil kira cabaran-cabaran yang dihadapi oleh setiap agensi dan memasukkan langkah-langkah khas yang diperkenalkan oleh Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023.

“Selain itu, ia turut melibatkan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 serta pindaan undang-undang yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan menghadiri sesi pembentangan secara tertutup di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC), Bukit Aman.

Dalam perkembangan lain, Azalina berkata, Rang undang-undang (RUU) berkaitan Suruhanjaya Kanak-Kanak akan dibentangkan di Parlimen, Oktober ini.

Beliau berkata, ia merupakan tidakan susulan kerajaan dalam usaha menjadikan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai badan bebas atau pemerhati kepada isu membabitkan kanak-kanak di negara ini.

“Sebenarnya ia diwujudkan di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), tapi kita nak ia wujud dengan aktanya sendiri,” katanya.

Jelasnya, suruhanjaya ini bertindak untuk memberi kesedaran dan menjadi pusat sehenti atau pusat rujukan.

“Paling terbaru isu memantau situasi kanak-kanak yang dikategorikan kanak-kanak tanpa izin, kemasukan pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) kategori kanak-kanak di mana suruhanjaya inilah yang akan menilai serta memantau.

“Terima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri yang akan mengeluarkan kanak-kanak dari pusat tahanan, tetapi apabila suruhanjaya ini wujud, ia juga akan bantu beri kefahaman tentang apa yang boleh dan tidak boleh kepada KDN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI