fbpx

Dewan Rakyat: Fundamental ekonomi negara terjejas sejak 2018 – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Fundamental ekonomi negara telah terjejas sejak lima tahun lalu, kata bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, perkara itu boleh dilihat berdasarkan penguncupan nilai ringgit berbanding mata wang negara lain sejak tahun 2018.

“Ringgit ini jika dibandingkan antara negara dengan negara kita kena bandingkan (tempoh masa) agak panjang sedikit. Dalam tempoh lima tahun ini kita akan nampak.

“Statistik ini secara tidak langsung menggambarkan fundamental ekonomi negara ini sudah terjejas. Kalau tidak ini akan tidak akan terjadi,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata, berdasarkan kajian beliau nilai ringgit jika dibandingkan dengan dolar Amerika Syarikat (USD) sejak lima tahun lalu telah mengalami penguncupan sebanyak 19.4 peratus.

Menurut beliau, ringgit berbanding “pound sterling” dari tahun 2018 pula menguncup 11.1 peratus, Singapura (13.8 peratus), Indonesia (18.1 peratus), manakala Thailand (6.8 peratus).

Terdahulu, beliau menerangkan, penyusutan nilai ringgit secara teori boleh membantu melonjakkan eksport negara dengan menjadikan barang eksport negara ini lebih murah.

Bagaimanapun, katanya, kedudukan Malaysia dalam rantaian global masih memerlukan negara mengimport barangan perantaraan untuk menghasilkan barangan siap sebelum dieksport.

Justeru, katanya, penyusutan ringgit akan turut menyebabkan kos eksport meningkat dan menjadikan barangan eksport negara juga tidak kompetitif.

Tambah beliau, penyusutan ringgit akan turut melonjakkan lagi kos import makanan negara yang ketika ini sudah mencecah RM75 bilion berbanding RM50 bilion pada tahun 2017.

“Ini akan meningkatkan inflasi makanan dalam tempoh jangka masa panjang dan sederhana dan seterusnya membebankan rakyat khususnya golongan B40,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI