fbpx

Dewan Rakyat: 7 faktor mempengaruhi nilai ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengemukakan tujuh faktor yang mempengaruhi kedudukan nilai mata wang sesebuah negara termasuk ringgit.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, faktor pertama adalah kestabilan politik kerana tanpa kestabilan politik, pelabur tidak akan datang ke negara ini.

“Kesannya mata wang negara akan terjejas sebab tiada permintaan ringgit dalam negara. Biasanya pelabur datang bawa duit dia kemudian tukar kepada duit kita, maka permintaan ringgit akan naik.

“Faktor kedua, kerajaan mesti mempunyai pengurusan negara yang kompeten termasuk dalam kalangan pegawai-pegawai kerajaan.

“Jika sesebuah kerajaan menguruskan negara dengan baik, ekonominya berkembang, kebajikan rakyat terjaga, keadaan persekitaran peniagaan yang kondusif untuk para pelabur maka mata wang negara automatik akan menjadi kukuh,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata, faktor ketiga adalah melibatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kerana setiap mata wang bergantung kepada ekonomi sesebuah negara berkembang atau tidak.

Jelas beliau, perkembangan KDNK yang stabil, tidak terlalu perlahan dan selari dengan perkembangan dunia akan berterusan menyaksikan mata wang negara bertambah kuat.

Kata beliau, faktor keempat adalah tentang pengurusan dasar fiskal negara daripada segi pendapatan dan perbelanjaan kerajaan termasuk defisit dan hutang kerajaan.

“Yang penting sesebuah kerajaan berkemampuan untuk membayar semula hutang tanpa terus berhutang untuk membayar hutang,” katanya.

Tambah beliau, faktor kelima mengenai pengurusan dasar Kadar Dasar Semalam (OPR) iaitu penentuan kadar faedah yang akan mempengaruhi aliran keluar dan masuk modal dalam sesebuah negara.

Beliau berkata, faktor keenam pula adalah berhubung penarafan kredit sesebuah negara yang turut memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan mata wang.

“Sebagai contoh negara yang memiliki taraf “triple A” rata-rata memiliki mata wang lebih kukuh secara relatif berbanding negara yang memiliki rating lebih rendah terutama apabila berdepan dengan cabaran ekonomi dunia.

“Ketujuh aliran modal masuk dan keluar atau “balance of payment” yang meliputi “current account”, “financial account” negara juga antara faktor mempengaruhi kadar mata wang,” katanya.

Ujar beliau, kesemua tujuh faktor itu mempengaruhi pergerakan mata wang secara keseluruhan dan bukan satu faktor sahaja akan menentukan kedudukan mata wang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI