PETALING JAYA – Ahli perniagaan yang menawarkan bantuan guaman kepada seorang tukang rumah yang dituduh mencuri duit tabung masjid di Kuala Terengganu membayar semula jumlah tersebut iaitu RM22 hari ini.
Datuk Seri Sunny Ung berkata, beliau menghantar seorang wakil untuk membayar wang itu selain sumbangan RM220 untuk membeli barangan keperluan anak-anak tukang rumah tersebut.
“Saya sudah menghantar wakil untuk membayar wang yang dicuri Orang Kena Tuduh (OKT) sebanyak RM22. Saya juga memberi sejumlah wang kepada pihak masjid membeli barang keperluan dan susu untuk keluarga OKT.
“Saya membantu OKT adalah kerana bimbang dengan keadaan anak-anaknya,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan seorang ahli perniagaan menawarkan khidmat peguam bela bagi kes tukang rumah yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 7 September lalu kerana mencuri duit tabung masjid sebanyak RM22.
Jelas Sunny Ung, khidmat tersebut ditawarkan kerana berpendapat OKT itu perlu mendapatkan pembelaan sewajarnya dalam kes tersebut.
Pada 7 September lalu Kosmo! melaporkan seorang tukang rumah mengaku salah di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu atas pertuduhan mencuri duit tabung sebuah masjid di daerah itu tiga bulan lalu.
Majistret Noor Mazrinie Mahmood menetapkan tarikh 26 September ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap Suhaidi Abdul Hamid.
Lelaki tersebut didakwa mencuri duit tabung sebuah masjid pada pukul 9.15 malam, 27 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE.