JAKARTA – Seorang kanak-kanak berusia setahun yang terlibat dalam kemalangan ngeri melibatkan dua buah lori di wilayah Lampung, Indonesia dirakam merangkak keluar dalam keadaan selamat dari bahagian hadapan salah sebuah kenderaan itu yang remuk, lapor laman berita Detik semalam.
Berdasarkan video yang tular di media sosial, kanak-kanak bernama Fatih Akbar itu dilihat merangkak keluar dari serpihan kemalangan sebelum berjalan ke arah ibunya, Sri Devi.
Sri Devi ketika itu sedang berusaha untuk keluar dari pintu tempat duduk kelindan yang turut remuk.
Anaknya yang baru belajar berjalan itu kemudian menuju ke arahnya dengan memanjat beberapa serpihan nahas.
Dua buah lori dilihat terbalik dengan salah satu daripadanya berada dalam keadaan melintang di tengah jalan.
Menurut Sri Devi, dia tidak menyedari bagaimana kemalangan itu berlaku kerana dia dan anaknya itu sedang tidur ketika kejadian.
“Saya juga tidak tahu Fatih tercampak ke luar kenderaan. Saya lihat dia sudah berada di luar (lori),” katanya.
Menurut Sri Devi, Fatih kini berada dalam keadaan baik meskipun mengalami beberapa kecederaan ringan. – AGENSI