fbpx

Bayi, kanak-kanak lelaki maut kemalangan babit dua kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 24 Jalan Semporna-Tawau semalam. - Foto IHSAN POLIS

SEMPORNA – Seorang bayi serta kanak-kanak lelaki masing-masing berusia tiga bulan dan tiga tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 24 Jalan Semporna – Tawau semalam.

Dalam kejadian pukul 1.50 tengah hari itu turut mengakibatkan tiga lagi mangsa lain parah.

Bayi serta kanak-kanak berkenaan adalah penumpang sebuah kereta Proton Saga, manakala pemandu dan seorang lagi penumpang dewasa kenderaan sama mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Proton Saga dan Toyota Hilux.

“Siasatan awal mendapati pelanggaran berlaku disebabkan oleh Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan telah masuk ke lorong jalan Proton Saga.

“Pemandu dan penumpang dewasa yang berada di dalam Proton Saga parah, manakala dua penumpang iaitu bayi dan kanak-kanak lelaki meninggal dunia.

“Dalam pada itu, pemandu Toyota Hilux parah manakala penumpang perempuan dewasa dan empat kanak-kanak tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Farhan Lee berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kepada sesiapa yang ada sebarang maklumat berkenaan kejadian itu, boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Inspektor Hemkkumar A/L Ayathuray di talian 012-3650021 dan Balai Polis Semporna di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI