PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbesar hati apabila menerima kunjungan bintang tersohor India, Rajinikanth di pejabatnya, di sini, semalam.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam akaun X miliknya, Anwar dilihat berjabat tangan dan berbual-bual ketika menyantuni pelakon filem Tamil berusia 72 tahun itu.
“Hari ini (semalam) saya menerima kunjungan bintang filem India, Rajinikanth, iaitu satu nama yang tidak asing lagi di pentas dunia seni Asia dan antarabangsa,” ujarnya.
Dalam hantaran itu juga, Anwar turut menghargai penghormatan yang diberikan terhadap perjuangan khususnya terkait isu kesengsaraan dan penderitaan rakyat.
Malah, Anwar turut memberitahu antara isu yang dibincangkan bersama pelakon itu adalah berkaitan elemen kemasyarakatan dan perjuangannya yang akan dimasukkan ke dalam filem-filem lakonan aktor itu nanti.
“Saya hargai penghormatan yang diberikan beliau terhadap perjuangan saya, khasnya terkait isu kesengsaraan dan penderitaan rakyat.
“Antara yang dibincangkan secara santai pastinya berkaitan elemen kemasyarakatan yang saya perjuangkan untuk dimasukkan ke dalam filem-filemnya nanti.
“Dititipkan doa agar Rajinikanth terus cemerlang dalam lapangan dalm dunia perfileman,” ujarnya.
Rajinikanth yang juga dikenali dengan gelaran ‘The Boss’ oleh peminatnya telah berkecimpung dalam industri perfileman India Selatan selama 50 tahun dengan membintangi lebih daripada 150 buah filem.
Pada tahun 2016, pelakon itu telah berkunjung ke Malaysia buat pertama kali bagi menjalani penggambaran filemnya berjudul Kabali yang turut menampilkan beberapa pelakon tempatan antaranya Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim dan Zack Taipan. – KOSMO! ONLINE