PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga penyampai berita terkenal, Raymond Goh atau nama Islamnya, Muhammad Zaman Goh Abdullah.
Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook hari ini berkata, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia penyiaran tanah air,” katanya.
Allahyarham disahkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta sekitar pukul 10.40 pagi tadi.
Berita duka tersebut dimaklumkan keluarga Allahyarham dalam satu kenyataan kepada Buletin TV3.
Terdahulu, Raymond yang bertugas lebih 30 tahun dalam dunia penyiaran berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya pada 30 Ogos lalu.
Raymond memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 O’clock News dan kemudian beralih kepada siaran Nightline TV3 di stesen televisyen berkenaan.
Allahyarham telah berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun dan turut menjadi jurulatih untuk pengucapan. – KOSMO! ONLINE