fbpx

Tiada sasaran pingat khusus di Sukan Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN AZIZAH (tengah) hadir pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia dan Para Asia Hangzhou 2022 di Kompleks MSN, Bukit Jalil sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Tidak ada sasaran pingat spesifik diumumkan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt menjelang temasya sukan itu yang akan membuka tirainya bermula 23 September hingga 8 Oktober depan.

Sebaliknya, hanya sasaran 27 pingat keseluruhan tidak mengira warna diletakkan bagi memastikan atlet-atlet negara tidak berdepan sebarang tekanan untuk memberikan aksi terbaik apabila masuk ke gelanggang.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menjelaskan, antara faktor keputusan tersebut adalah selepas mengambil kira amalan beberapa kuasa besar sukan dunia yang turut tidak meletakkan sasaran pingat khusus.

“Kalau kita lihat, amalan tidak umum (sasaran) pingat spesifik sudah diamalkan beberapa negara. Kita tengok pada Olimpik Tokyo sebelum ini, Australia tidak umum sasaran pingat, begitu juga Jepun.

“Sekarang pun rantau Asia dan Asia Tenggara juga tidak umum sasaran pingat emas. Hanya Vietnam sahaja yang umumkan sasaran lima pingat emas, manakala Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina juga tidak umumkan sasaran emas mereka,” katanya.

Meskipun tidak meletakkan sasaran pingat spesifik pada temasya empat tahun sekali itu, namun beliau tetap menaruh sepenuh kepercayaan terhadap keupayaan atlet bagi mencapai sasaran masing-masing.

“Kita kena lihat sasaran berlebihan mungkin beri tekanan kepada atlet kita. Semua atlet yang kita pilih mampu untuk sumbang pingat kerana mereka sudah berusaha selama empat tahun selepas Sukan Asia di Jakarta sebelum ini.

“Jadi, kita kena beri kepercayaan kepada mereka untuk menampilkan aksi terbaik pada temasya kali ini. Sasaran dalaman memang ada kerana ada atlet-atlet umumkan apa yang mereka nak,” ujar Jefri.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia dan Para Asia Hangzhou 2022 yang disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Kompleks MSN, Bukit Jalil sebentar tadi.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Untuk rekod, pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Malaysia membawa pulang 36 pingat keseluruhan termasuk tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI