fbpx

Tambahan 11 projek pengangkutan dan logistik dalam RMK12

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 11 projek pengangkutan dan logistik baharu diperkenalkan bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara yang mampan dan berdaya tahan.

Jelas Perdana Menteri, projek-projek berkenaan adalah terdiri daripada pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B; Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang; perluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang; pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang; dan naik taraf Lebuhraya Timur-Barat dari Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan.

Bukan itu sahaja, ia juga termasuk perluasan perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) dan bas dalam bandar termasuk di Johor Bahru dan Lembah Klang; naik taraf Lebuhraya Senai-Desaru; pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (dari Yong Peng ke Senai Utara) secara berfasa; pembinaan Sarawak-Sabah Link Road II; dan naik taraf jalan dari Tanah Rata ke Kea Farm, Cameron Highlands.

“Selain itu, pembangunan pelabuhan baharu di Pulau Carey dijangka dapat mengukuhkan Pelabuhan Klang sebagai hab pemindahan kapal serantau.

“Kerajaan juga akan menambah baik kerja-kerja penyenggaraan infrastruktur pengangkutan bagi memanjangkan jangka hayat jalan raya, aset rel dan peralatan navigasi udara,” katanya ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) 2021-2025 di Parlimen hari ini.

Katanya, anjakan utama pengukuhan jaringan pengangkutan awam akan menyediakan akses dan ketersambungan yang lebih baik bagi memastikan lebih ramai rakyat menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang semakin cekap, berdaya harap, mampu bayar dan selamat. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI