TAMPIN – Seorang bekas homeguard meminta generasi masa kini menghargai jasa orang lama dengan mempertahankan kemerdekaan kerana ia bukan sahaja satu usaha yang sukar, malah terpaksa dituntut dengan darah dan pengorbanan.
Jantan Harun, 91, berkata, setiap anggota keselamatan mempunyai pengalaman dan cerita masing-masing dan apa yang berlaku kepadanya pada 12 Ogos 1952 akan kekal di ingatan.
Katanya, kejadian diserang hendap komunis di Jalan Bukit Jalor, Air Kuning Selatan di sini hingga mengorbankan lapan anggota polis dan mencederakan tiga lagi merupakan salah satu kekejaman gerila berkenaan yang perlu dilabelkan sebagai pengkhianat negara sampai bila-bila.
“Ketika itu dapat laporan mengatakan sebuah lori dibakar komunis.
“Sepasukan polis telah membuat siasatan sebelum diserang hendap. Lapan mati dan tiga cedera, manakala yang ditangkap telah dibogelkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Lebar, Air Kuning Selatan di sini.
Menurut Jantan, lututnya pernah ditembak komunis ketika menyertai satu operasi di Ulu Miku, Rembau dan dapat menembak mati dua komunis.
Katanya, dia berharap generasi masa kini dapat mengenang kembali tragedi pertempuran dan betapa sukarnya untuk memperjuangkan kemerdekaan yang sepatutnya dipertahankan dan bukannya berebut kuasa.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Johor Bahru Selatan, Deputi Superintendan Mansor Omar berkata, serangan di Bukit Jalor merupakan antara tragedi di seluruh negara yang dikumpulkan melalui saksi hidup pada 2012.
“Ketika itu kawasan Air Kuning terkenal dengan nama gerila komunis seperti Ah Wah, Ah Ling, Sarip dan Mahad Sibun.
“Ah Wah menyerah diri, manakala Ah Ling mati ditembak di Estet Sungai Sibol,” katanya.
Ujar Mansor, anggota yang maut dalam tragedi itu ialah Inspektor Arthur Abishegam, Lans Koperasl Ahmad Yakim, Alias Tamin, Yusof Mohd., Mohd. Yasin Mohamad, Tan Ah Lee, Mohd. Jani Pais dan Manap Mohamed.
“Mereka yang parah ialah Mohamad Tajak dari Kampung Paya Lebar, Gemencih, Konstabel Khas Mat Sah serta Dollah Uyob masing-masing dari Kampung Ulu, Tampin dan Melaka.
Menurut Mansor, nama gerila komunis lain di Negeri Sembilan termasuk Tan Fook Long (Jelebu), Ibrahim Baba (Tampin), Choo Ah Kuang (Bahau), Samsiah Fakeh dan Zaiton (Kuala Pilah), Manap Jepon serta Cikgu Taha @Taha Kalu (Pertang).