BRUSSELS, BELGIUM – Suruhanjaya Eropah melarang rakyat Russia daripada membawa beberapa barangan peribadi ketika melakukan perjalanan ke mana-mana negara Kesatuan Eropah (EU) termasuk kereta, telefon pintar, sabun dan tisu tandas, lapor laman berita RT kelmarin.
Semua barangan itu tidak dibenarkan dibawa masuk ke EU sama ada untuk tempoh sementara atau ketika melancong.
“Sama ada kenderaan yang digunakan untuk kegunaan peribadi atau komersial, ia tidak relevan (dibawa masuk) selagi berada di bawah kategori barangan yang dikenakan sekatan,” kata Suruhanjaya Eropah Jumaat lalu.
Tambahnya, larangan membawa masuk kenderaan melibatkan kereta yang mempunyai nombor plat dan pendaftaran Russia.
Selain itu, beberapa barangan peribadi yang berasal dari Russia turut ditegah dibawa masuk berdasarkan senarai Lampiran XXI peraturan EU mengenai sekatan terhadap Russia.
Senarai itu mempunyai 180 kategori barangan termasuk telefon bimbit, kamera, pakaian wanita, pelbagai jenis beg, kasut, sabun, minyak wangi dan tisu tandas.
Penjelasan itu dikeluarkan susulan beberapa insiden di mana kastam Jerman merampas kereta persendirian Russia yang memasuki negara itu sekurang-kurangnya sejak Julai lalu.
Moscow menuduh Berlin mencuri kenderaan rakyatnya dan memberi amaran kepada penduduk Russia supaya tidak membawa masuk kereta mereka ke Jerman.
Berlin kemudian menjelaskan alasan di sebalik tindakan itu dengan menegaskan bahawa sekatan tersebut telah dilaksanakan sejak 2014.
EU dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mula melaksanakan sekatan ke atas Moscow pada 2014 apabila Semenanjung Crimea mengundi untuk keluar dari Ukraine dan menjadi sebahagian daripada Russia. – AGENSI