KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM400 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan dibelanjakan dengan menambah siling RM15 bilion lagi yang menjadikan jumlah keseluruhannya RM415 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri ANwar Ibrahim berkata, peningkatan itu bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.
“Anjakan baharu bermula dengan menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat.
“Ia juga termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih, serta meneraju ekonomi Islam,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata RMK12 juga akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi Madani yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh sepuluh tahun.
Jelas perdana menteri, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi tahun 2023 hingga 2025.
“RMK12 memperuntukkan RM400 bilion bagi membiayai projek pembangunan sambungan dan baharu untuk tempoh lima tahun.
“Bagi tempoh dua tahun pertama, prestasi perbelanjaan sebenar ialah 34 peratus, pada 2021 jumlah perbelanjaan pembangunan hanyalah sebanyak RM64.3 bilion, sementara pada 2022 jumlahnya adalah sebanyak RM71.6 bilion,” katanya.
Tambah Anwar, KSP RMK12 akan menyemak semula dasar, strategi dan sasaran secara menyeluruh dengan mengambil kira kesenjangan pembangunan kota, desa dan pedalaman dan juga miskin-kaya yang masih wujud, hutang yang membengkak, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan.
Katanya, dalam tempoh masa yang singkat juga, pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh kerajaan untuk mengembalikan Malaysia ke landasan pertumbuhan yang betul.
“Hasilnya, dalam tempoh separuh pertama tahun 2023, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negara telah mencatat peningkatan sebanyak 4.2 peratus, didukung oleh kegiatan sektor swasta dan perdagangan yang baik,” katanya.
Sementara itu katanya, prestasi pasaran buruh juga semakin baik dengan kadar produktiviti yang lebih tinggi, iaitu 3.7 peratus setahun bagi tempoh 2021-2022, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.5 peratus pada suku kedua tahun 2023.
“Malah, kadar inflasi pada Julai 2023 telah menurun kepada 2.0 peratus, rekod terendah dalam tempoh 24 bulan.
“Pendapatan negara kasar per kapita lebih tinggi, iaitu RM52,968 (US$12,035) pada tahun 2022 berbanding RM42,838 (US$10,191) pada tahun 2020,” katanya. – KOSMO! ONLINE.