BATU PAHAT – Seorang remaja lelaki lemas dalam parit di Jalan Ladang Genting Estate, Ladang Seri Gading di sini petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II Firdaus Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 6.24 petang.
Susulan itu katanya, 14 anggota dibantu dua buah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Mangsa Mohamad Abdullah, 18, yang telah lemas di kawasan parit berkedalaman kira-kira tiga meter.
“Tindakan operasi membuat pencarian secara ‘surface searching’ menemui mangsa pada jarak tiga meter dari tebing parit kira-kira pukul 7.20 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohamaddin Mohd Tahir, 47, berkata, anak tirinya itu bersama enam orang rakan telah datang ke tali air di ladang itu untuk mandi.
Katanya, ketika sedang mandi secara tiba-tiba dia terkapai seperti dalam keadaan lemas serta cuba minta tolong dengan rakannya namun disangka satu gurauan.
“Selepas mendapati Mohammad tidak timbul baru menyedari kejadian itu benar-benar berlaku dan minta bantuan penduduk di Kampung Rahmat mendapatkan pasukan Bomba dan Penyelamat bagi kerja-kerja menyelamat.
“Penduduk juga berusaha menggunakan jala untuk mencari mangsa namun gagal,”katanya.-KOSMO! ONLINE