fbpx

Rekahan jalan di LPT1 disiasat – Anih Berhad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejadian rekahan jalan dipercayai akibat mendapan tanah di LPT 1 di Temerloh.

KUALA LUMPUR – Pengendali Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1), Anih Berhad, telah menempatkan kakitangan operasi sepanjang 24 jam untuk memantau dan menangani isu kegagalan tambakan projek tebatan banjir LPT1.

Menurut siaran akhbar yang dikeluarkan Anih Berhad, setakat ini, tiada pergerakan baharu yang direkodkan di kawasan kejadian.

“Bagaimanapun, pihak syarikat dengan kerjasama kontraktor telah menempatkan penanda enapan bagi meneruskan pemantauan keadaan semasa.

“Buat masa sekarang, Anih Berhad serta pihak perunding sedang menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Tambahnya, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan segera oleh pihak kontraktor setelah penyiasatan tapak secara menyeluruh selesai dilakukan.

“Berdasarkan siasatan awal yang dijalankan pihak syarikat, terdapat resapan air bawah tanah di tapak projek yang menyebabkan runtuhan cerun tambak di kawasan kerja-kerja tebatan banjir.

“Resapan air tersebut mengakibatkan rekahan di permukaan jalan di antara KM118.2 ke KM117.8 melibatkan lorong kecemasan dan sebahagian lorong perlahan,” katanya.

Sebagai langkah segera, Anih Berhad telah menutup sepenuhnya laluan ke Kuala Lumpur dan mengaktifkan sistem laluan kontra dari KM 116.5 sehingga KM 119.4 di laluan timur pada jam 4.15 petang, semalam.

“Para pengguna dinasihati untuk merancang perjalanan mereka dan memandu secara berhemah serta mematuhi arahan petugas dilokasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI