TASHKENT, Uzbekistan – Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev menandatangani pindaan undang-undang berkaitan perlindungan hidupan liar yang melarang penduduk negara itu memelihara haiwan spesies tertentu termasuk beruang, buaya dan harimau di rumah mereka, lapor laman berita RT.
Larangan itu bertujuan melindungi alam sekitar serta memelihara dan mengekalkan biodiversiti. Ia juga menjadi asas dalam memastikan kehidupan stabil serta memelihara populasi semula jadi haiwan liar terutamanya spesies jarang ditemui dan terancam.
Pihak berkuasa Uzbekistan bagaimanapun belum mendedahkan senarai penuh spesies yang diberikan perlindungan khas di bawah undang-undang baharu tersebut.
Media Uzbekistan sebelum ini memetik Kementerian Alam Sekitar sebagai berkata bahawa lebih 50 spesies akan dilindungi termasuk harimau dan buaya serta spesies beruang, ikan, ular dan serangga tertentu.
Di bawah pindaan undang-undang baharu itu, penduduk tidak lagi boleh memelihara spesies haiwan liar tertentu dalam keadaan separa bebas, sama ada dalam habitat buatan atau kurungan. – Agensi