fbpx

Peraturan penebangan hutan bakal beri impak negatif kepada pengusaha kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penebangan hutan akan memberi hasil menguntungkan kepada pengusaha besar dan sebaliknya bakal memberi kesan negatif kepada pengusaha kecil. -gambar hiasan

PETALING JAYA – Peraturan penebangan hutan Kesatuan Eropah (EU) bakal mengubah lanskap perdagangan global kerana ia dilihat hanya akan memberi manfaat kepada pengusaha mega dengan membunuh pengusaha kecil ekoran peraturan ketat dan syarat yang ditetapkan.

Usaha untuk memelihara hutan dan mengelakkan penebangan hutan bagi tujuan komersial adalah satu usaha yang terpuji bagaimanapun, kaedah dalam implementasinya harus dilihat secara menyeluruh agar tidak memberi kesan terutamanya dari segi ekonomi yang melibatkan golongan sederhana.

Menurut Pengarah Eksekutif Pusat Perdagangan Antarabangsa (ITC), Pamela Coke-Hamilton, langkah ini hanya berpihak kepada syarikat-syarikat besar dan ia akan memberi impak kepada perdagangan antarabangsa jika mereka tidak membantu pengusaha kecil dan negara yang sedang membangun menyesuaikan diri dengan peraturan tersebut.

“Apabila tidak boleh mendapatkan kebolehkesanan hasil daripada pekebun kecil, pengeluar atau syarikat yang lebih besar, ia hanya akan mengenepikan atau mengabaikan mereka.

“Apabila anda kehilangan perkongsian pasaran, anda akan kehilangan pendapatan, kemudian kita akan menyaksikan kemiskinan meningkat, kemudiannya lagi kita akan melihat peningkatan penebangan hutan kerana punca penebangan hutan adalah kemiskinan,” katanya dalam kenyataan kepada Financial Times hari ini.

Coke-Hamilton yang juga  agensi bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia berkata, larangan produk berkaitan penebangan hutan daripada memasuki pasaran Eropah lebih memihak kepada syarikat besar yang dapat mengesan dari mana hasil mereka telah ditanam dan berisiko membunuh pembekal yang lebih kecil.

Jika pengeluar kecil tidak dapat memenuhi kriteria untuk mengeksport barangan yang dilindungi oleh undang-undang ini, ia berisiko mengganggu kitaran ekonomi sedia ada.

“Ramai (pekebun kecil) cuba untuk bersaing dengan pasca-Covid, krisis kos sara hidup dan
perubahan iklim. Mereka hanya terperangkap dalam putaran kelangsungan hidup ini,” tambahnya.

Antara negara-negara membangun yang bakal terkesan dengan peraturan ini adalah Brazil dan Honduras yang membekalkan biji kopi ke Eropah dan juga Indonesia serta Malaysia yang
menjadi pembekal utama getah dan minyak sawit.

Malaysia bagaimanapun sedang berusaha bersama  Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC)
melaksanakan skim pensijilan nasional di Malaysia untuk ladang sawit, pekebun kecil dan kilang pemprosesan minyak sawit iaitu melalui Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO).

Jawatankuasa MSPO telah ditubuhkan pada 2015 untuk memberi pensijilan kepada minyak sawit yang ditanam secara mampan dan pada 2017, kerajaan Malaysia mewajibkan pensijilan MSPO bermula pada 2020.

Sehingga kini, 96 peratus ladang sawit di Malaysia telah diperakui mampan di bawah pertauliahan MSPO melalui skim pensijilan MSPO. Ia merupakan piawaian kemampanan mandatori yang ditetapkan di peringkat nasional yang dikuatkuasakan oleh undang-undang pertama seumpamanya di dunia.

 

Hakikatnya, para pekebun ini merupakan nadi dalam pembangunan sosio ekonomi negara yang mana industri minyak sawit merupakan penyumbang utama dalam pengurangan kemiskinan daripada 50 peratus pada tahun 1960an kepada hanya lima peratus hari ini.

Berdasarkan data RSPO, pengeluaran pekebun kecil menyumbang 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan ladang sawit di Malaysia.

Selain itu, menurut Global Forest Watch pada Jun 2023, pengurangan mendadak dapat dilihat dalamkehilangan hutan di Malaysia. Katanya, pengurangan ini adalah kerana syarikat kelapa sawit bertindak beroperasi di bawah komitmen Tiada Penebangan Hutan, Gambut dan Eksploitasi (NDPE) kira-kira 83 peratus daripada kapasiti penapisan minyak sawit.

Laporan daripada Global Forest Watch ini seharusnya dapat meredakan kebimbangan pejuang dan aktivis alam sekitar kerana ia menunjukkan bahawa kerja keras industri minyak sawit Malaysia dan kerajaan benar-benar mula membuahkan hasil dalam menangani penebangan hutan.

Jika dilihat, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan kebelakangan ini dengan mengehadkan kawasan ladang yang ditubuhkan pada 2019 hingga 2023, dan undang-undang perhutanan baharu digubal pada 2022 untuk memperketatkan hukuman bagi pembalakan haram.  -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI