JAKARTA – Seorang penjual makanan jalanan di Indonesia menjadi tumpuan pengguna media sosial kerana memiliki wajah mirip bintang bola sepak terkenal, Lionel Messi, lapor laman berita Okezone hari ini.
Dalam video yang dikongsikan di platform TikTok, lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu dilihat sibuk membungkus cilok atau bebola ubi kayu kepada pelanggan.
Ekspresi wajah dan senyumannya menyerupai Messi meskipun penjual berkenaan hanya tersenyum dan tidak menuturkan sebarang ucapan.
“Sejak bila Messi menjual cilok? Mirip sekali. Dari Argentina ke sini menjual cilok,” demikian menurut keterangan pada klip video tersebut.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Messi ketika sudah pencen daripada bermain bola sepak,” kata seorang netizen.
“Dia sedang melancong dan tidak mahu dicam oleh orang ramai,” ujar pengguna lain. – AGENSI