PUTRAJAYA-Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) terus mendesak kerajaan segera melaksanakan pengasingan kuasa di antara Peguam Negara dan pendakwa raya.
Setiausaha Agung Muda, Amir Abdul Hadi berkata, suatu garis masa yang jelas harus diberikan bagi meminimumkan sebarang percanggahan kepentingan.
“Kita gesa segera untuk pemisahan (kuasa) di antara Peguam Negara dan pendakwa raya dilakukan supaya tidak ada ‘conflict of interest’, perlu ada garis masa, tak boleh sebut kita akan buat tapi kita tak tahu bila akan buat.
“(Jika) perlu pindaan Perlembagaan, Muda nyatakan pendirian kita akan mengundi sokong, kalau ia memerlukan Pindaan perlembagaan untuk memisahkan kedua-dua kuasa itu,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil pejabat Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Amir berkata, kedua-dua parti berkenaan turut mendesak supaya pejabat Jabatan Peguam Negara memberi penjelasan penuh berhubung keputusan menghentikan prosiding ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen.
Tegasnya, Ahmad Zahid juga harus didakwa semula oleh pihak pendakwa raya dan kes tersebut perlu berjalan sehingga suatu penjelasan konkrit daripada mahkamah dicapai.
“Kita minta supaya Ahmad Zahid didakwa segera, seperti kes Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebelum ini yang pernah diberikan DNAA (dilepas tanpa dibebaskan), tetapi kemudian didakwa semula.
“Zahid adalah Timbalan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dibawah Jabatan Perdana Menteri, kita lihat ada ‘conflict of interest’ (jadi) untuk memastikan ketelusan beliau perlu meletak jawatan,” ujarnya.-KOSMO! ONLIN