fbpx

Kerajaan setuju segerakan RUU FRA di Parlimen bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju menyegerakan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Tanggungjawab Fiskal (FRA) di Parlimen pada bulan depan bagi menambah baik rangka kerja perundangan fiskal negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, FRA mengandungi prinsip pengurusan fiskal yang kukuh dengan memberi penekanan kepada tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.

Menurut beliau, akta itu akan menekankan kebertanggungjawaban Menteri Kewangan kepada Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawabnya menggubal dasar fiskal dan mengurus wang awam.

“Kerajaan pada masa sama akan meneruskan usaha bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan serta mengurangkan ketirisan dan pembaziran.

“Dalam hal ini, langkah konsolidasi fiskal akan terus dilaksanakan secara berperingkat bagi membina semula ruang fiskal disamping mengurangkan paras hutang dan liabiliti kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perkara itu dipersetujui melalui mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) dipengerusikan Anwar bagi meneliti perkembangan ekonomi negara dan kedudukan fiskal kerajaan terkini serta unjuran fiskal jangka sederhana sebagai persediaan Belanjawan 2024.

“Jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam merangka strategi dan menetapkan hala tuju serta menambah baik tatakelola pengurusan kewangan awam bagi memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan jangka sederhana dan panjang,” jelasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan, dalam melaksanakan reformasi fiskal, adalah penting untuk mengimbangi keperluan pengembangan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

“Pendirian saya tidak pernah berganjak dalam memastikan reformasi fiskal ini tidak sama sekali membebankan rakyat yang memerlukan, malah reformasi fiskal ini masih perlu mengambil kira perbelanjaan untuk merancakkan ekonomi dan pelaburan.

“Maka, jujukan dan skop reformasi fiskal mesti dipertimbangkan agar ia tidak membawa kejutan yang drastik kepada ekonomi mahupun rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI