KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini sedia untuk mengkaji pelbagai pendekatan bagi mencapai kemampanan fiskal termasuk melalui pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang pernah diguna pakai ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimansuhkan sebelum ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagaimanapun berkata, kerajaan akan mengutamakan strategi untuk meluaskan sumber hasil negara termasuk fokus membangunkan Cukai Keuntungan Modal, yang dijadualkan dilaksanakan pada 2024.
“Kerajaan akan berpegang kepada strategi kami dan terbuka untuk melaksanakan apa jua cara bagi mencapai kemampanan fiskal melalui sumber yang lebih luas, sama ada ia akan menjadi GST, Cukai Keuntungan Modal atau sebarang bentuk cukai langsung dan tidak langsung, kami hanya akan putuskan berdasarkan kes ke kes atau tahun ke tahun.
“Sebarang pengumuman berkenaan pengenalan cukai akan dibuat menteri kewangan menerusi pembentangan bajet selepas ini,” katanya pada sidang akhbar di lobi parlimen hari ini.
Dalam pada itu Rafizi berkata, kesan pergolakan ekonomi global turut dirasai Malaysia ketika ini, namun kerajaan yakin dapat mengurusnya dengan baik.
“Pegumuman apa saja cukai baru, apa juga hasil bagi baru kami lakukan dengan MOF bersama pengumuman bajet untuk diumumkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE