JAKARTA – Sebuah video tular memaparkan imej lembaga menyerupai pocong sedang duduk di atas papan iklan di tepi jalan menjadi perbualan ramai dengan mereka menyifatkan situasi tersebut menyeramkan, lapor laman berita Detik kelmarin.
Video berdurasi 21 saat itu dirakam di Jalan Guntur, Garut, dalam wilayah Jawa Barat pada waktu malam.
Jika dilihat sekilas pandang, lembaga itu kelihatan seperti pocong, namun ia langsung tidak bergerak.
Tampil menjelaskan keadaan itu, Ketua Bahagian Sumber Manusia Polis Perbandaran Garut, Tubagus Agus Sofyan berkata, pocong yang dimaksudkan itu sebenarnya ialah patung yang dipasang untuk promosi iklan.
“Benar (imej pocong) tetapi ia bukan hantu. Itu hanya patung.
“Menurut penduduk setempat, ia adalah promosi iklan,” katanya. – AGENSI