KUALA PILAH – Sepasang suami isteri diselubungi kebimbangan apabila seekor harimau kumbang dikatakan masih berkeliaran di kawasan rumahnya selepas membaham anak anjing dalam kejadian di Kampung Ulu Beting di sini 5 September lalu.
Rusmazaiti Kamarulzaman, 31, berkata, ketika kejadian pukul 11 malam itu, dia dan suami, Abdul Mizan Mohd. Haris , 42, pelik apabila terdengar bunyi anak anjing mengerang kesakitan.
Katanya, apabila langsir diselak, dia terkejut apabila nampak kelibat harimau kumbang sedang menarik salah seekor anak anjing yang ada di bawah kenderaan pacuan empat roda milik mereka.
“Harimau itu tak lari dan terus tarik anak anjing walaupun kami baling mercun. Tak lama kemudian kami nampak harimau gonggong anak anjing terus masuk hutan dan kebun berhampiran.
“Keesokan harinya, pasukan keselamatan tiba dan mengarahkan kami bermalam di lokasi lain kerana bimbang harimau itu masih berkeliaran di sekitar rumah,” katanya ketika ditemui.
Menurut Rusmazaiti, empat hari sebelum kejadian, dua ekor anjing dewasa yang menjaga kebunnya hilang tanpa jejak.
Tambahnya, dia mengesyaki anjing itu telah diserang oleh harimau berkenaan kerana haiwan itu pernah muncul berhampiran rumahnya pada waktu malam kira-kira sebulan lalu.
“Ketika itu ia lari selepas dibaling mercun. Ini kejadian pertama sejak tinggal di sini dua tahun lalu bersama dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun.
“Penduduk ada cerita pada kami mengenai harimau kumbang itu tetapi ia tidak pernah mengganggu mereka,” katanya.
Sehubungan itu, dia berharap perangkap yang dipasang pihak Perhilitan dengan meletakkan umpan anak anjing akan dapat menangkap harimau berkenaan. – KOSMO! ONLINE