fbpx

Five mahu gandakan jumlah cawangan menjelang 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penggunaan warna yang vibrant pada stesen minyak Five antara elemen yang diharapkan mampu menarik pengunjung.

FIVE Petroleum Malaysia Sdn. Bhd. (Five) mungkin boleh dianggap terlalu baharu di negara ini dengan stesen minyak pertama mereka yang bertempat di Kalumpang, Hulu Selangor hanya membuka pintu buat pertama kali pada 1 Mac 2020.

Beberapa hari selepas itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Covid-19 dilaksanakan di Malaysia dan meskipun negara terus dibelenggu pandemik untuk tempoh dua tahun, Five terus melaksanakan rancangan pertumbuhannya.

Kini selepas tiga tahun beroperasi, syarikat 100 peratus tempatan dari segi pegangan saham dan lembaga pengarah, malah rantaian pembekalan, vendor serta penggunaan kontraktor itu telah memiliki kira-kira 100 stesen minyak di seluruh Semenanjung.

Wartawan Kosmo!, Afifi Hafiz Mohd. Nor bersama jurugambar, Mohd. Shahjehan Maamin baru-baru ini berkesempatan bertemu Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Five, Datuk Seri King Lim Chin Fui yang bercerita mengenai strategi perkembangan syarikat, berserta pelan Road To 200 yang disasar untuk dicapai pada 2025.

 

KOSMO!: Mengapa syarikat mengambil keputusan mema­suki pasaran ini yang dilihat sebagai amat kompetitif?

Chin Fui: Penghasilan kami dalam pasaran yang sangat kompetitif ini didorong bukan hanya oleh semangat keusahawanan, tetapi lebih penting lagi, suatu kepercayaan bahawa bekalan tenaga sepatutnya boleh diakses secara universal.

Kami menganggap ini sebagai tanggungjawab kami untuk memastikan warga Malaysia yang berada di kawasan terpencil sekalipun dapat mengakses tenaga tanpa halangan.

Berasaskan prinsip ini, kami sedang memperluas rangkaian kami dengan gigih, menjadikan kehadiran kami dirasai, terutamanya di kawasan-kawasan yang diabaikan oleh yang lain. Tujuan kami adalah untuk memastikan setiap keperluan tenaga di Malaysia dipenuhi.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Five, Datuk Seri King Lim Chin Fui

Apa pelan pertumbuhan semasa Five?

Setakat ini Five mempunyai 100 buah stesen minyak di Malaysia. Bagi perancangan masa depan, pada tahun 2025, kami ingin menambah bilangan stesen minyak di bawah program penjenamaan semula dan stesen baharu berjenama Five kepada 200 buah.

Walaupun baru berusia tiga tahun, kami bercita-cita tinggi. Five mahu melampaui akar tempatannya dan mempunyai pandangan serantau. Semasa kami berkembang, kami bersemangat untuk mencipta kesan ekonomi yang memberi manfaat kepada ekonomi domestik.

Dalam kesedaran akan peralihan tenaga yang akan datang, kami komited untuk mengejar kepelbagaian dalam penawaran secara berkesan, menjadikan Five bersedia untuk memenuhi keperluan masyarakat yang akan datang. Visi kami merangkumi pengekalan sumber tenaga baharu tanpa mengorbankan komitmen terhadap aksesibiliti.

Apa tawaran kepada pengusaha stesen minyak baharu untuk mencapai hasrat ini?

Five menawarkan beberapa jenis pakej menarik buat pengusaha berpotensi yang melepasi saringan temu duga. Sebagai syarikat tempatan, kami mempunyai komitmen untuk menawarkan yang terbaik bagi setiap pengusaha stesen minyak.

Kami amat mementingkan ‘ROI’ atau pulangan pelaburan, dan memastikan kos pembinaan serta operasi berada pada tahap paling optimum bagi memastikan ROI pengusaha stesen mi­nyak berjenama Five dapat disingkatkan dalam masa lapan hingga 10 tahun operasi.

Tidak termasuk tanah, kos untuk membuka sebuah stesen minyak Five adalah sekitar RM2 juta.

Apakah kekuatan dan keunikan Five berbanding jenama lain?

Five mempunyai warna dan reka bentuk yang vibrant bagi menarik pelanggan singgah.

Kami juga mengutamakan barangan produk buatan tempatan dan sebahagian daripada etos kami di Five ialah perkhidmatan yang mesra. Kami melihat diri kami sebagai keluarga, memberi keutamaan kepada perkhidmatan yang disesuaikan untuk setiap pihak berkepenti­ngan. Kami di Five percaya dalam mengubah perusahaan menjadi komuniti.

Boleh ceritakan sedikit mengenai penggunaan teknologi baharu oleh syarikat?

Buat masa ini, Five telah pun mempunyai aplikasi pembayaran melalui telefon pintar, yang mana pelanggan boleh melakukan pembayaran melalui semua e-dompet di Malaysia. Kami juga mempunyai perancangan untuk bekerjasama dengan sektor lain seperti industri pelancongan dan F&B (makanan dan minuman), yang mana pengguna aplikasi kami dapat menikmati diskaun di kedai dan hotel terpilih.

Bagi menyokong hasrat kerajaan dalam teknologi hijau, kami akan bekerjasama de­ngan sebuah syarikat tempatan bagi memproses plastik kepada produk diesel. Perbincangan masih di peringkat awal, namun menggunakan teknologi ini, kami akan memastikan produk kitar semula dapat digunakan kembali bagi mengurangkan pencemaran sisa pepejal.

Five melalui anak syarikatnya juga telah menandatangani perjanjian bagi pemasangan panel solar di stesen minyak. Dengan kaedah ini, stesen minyak akan dapat mengurangkan kos elektrik dan menjana tenaga hijau.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI