PETALING JAYA – Peraturan yang ditetapkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bahawa semua Ahli Parlimen tidak wajib memakai tali leher, menggegarkan Persidangan Khas Dewan Rakyat di hari pertama.
Namun beliau menegaskan, mereka masih perlu memakai ‘lounge suit’ manakala pegawai kerajaan yang mengiringi menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen, dikehendaki memakai tali leher.
Pengumuman tersebut menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bangkit dan bertanya soalan yang agak mengelirukan, sekali gus mencetuskan kekecohan.
“Kalau tak pakai tali leher, kena pakai kot. Jadi kalau tak pakai tali leher tak perlu pakai kot?,” soalnya.
Soalannya itu menimbulkan rasa kurang senang Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan, yang menyifatkan Hamzah sebagai ‘pening’ lantas memintanya duduk.
“Ketua Pembangkang ini pening ni. Ketua Pembangkang, duduklah! Duduk, duduk! Buang masa. Tak faham bahasa. Buang masa!,” tegasnya.
Tidak puas hati dengan respons yang diberikan, Hamzah secara sinis menjelaskan bahawa beliau hanya perlukan penjelasan berikutan tidak biasa dengan ‘monyet-monyet ini’.
“Saya ingin jelaskan saja, sebab Tuan Yang Dipertua cakap begitu. Saya di kampung saya, nak pergi kampung hulu sana ada banyak monyet.
“Sebab itu saya tidak biasa dengan monyet-monyet ini dan minta Yang Dipertua jelaskan,” katanya.
Tidak hanya berdiam diri, Mohd Sany yang dilihat agak terkesan dengan kenyataan Hamzah tersebut menegaskan, ia tidak kelakar dan menjemputnya ke Hulu Langat kerana ada banyak monyet.
“Tak kelakar, tak kelakar. Kalau tiada monyet, mari datang Hulu Langat. Ada banyak monyet. Tak kelakar langsung!,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE