fbpx

Dasar Pendidikan Digital akan diperkenal, lahir murid berkemahiran digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAJAR pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau, Temerloh, Pahang berpeluang mendalami kemahiran digital dalam studio multimedia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

KUALA LUMPUR – Bagi meningkatkan mutu pendidikan negara, Dasar Pendidikan Digital (DPD) akan diluncurkan bagi melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, matlamat DPD adalah untuk melahirkan murid fasih digital yang berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai.

“Antara inisiatif utama DPD adalah pelaksanaan program latihan peningkatan kompetensi digital pendidikan, penambahbaikan kurikulum program pendidikan dan pewujudan pasukan jauhari pendidikan digital,” jelasnya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, sekolah model khas seperti Sekolah Komprehensif 9 (K9), Sekolah Komprehensif 11 (K11) akan diperbanyakkan bagi memberi peluang kepada anak-anak dalam kalangan peribumi dan Orang Asli serta dari kawasan pedalaman dan pulau terpencil mendapat akses kepada pendidikan.

Katanya, inisiatif Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih untuk kanak-kanak warganegara yang terpinggir dan tiada dokumen pengenalan diri juga akan diperluas.

“Kerajaan juga cakna dengan isu keciciran murid dalam sistem pendidikan. Isu ini akan ditangani secara tuntas melalui pembangunan Sistem Pengesanan Murid Cicir Bersepadu.

“Kerajaan beriltizam untuk mengislahkan sistem pendidikan negara bagi melahirkan bakat tersedia masa hadapan. Pendidikan karakter yang menyokong konsep karamah insaniah akan diperkenalkan melalui pendekatan sistemik dan holistik.

“Pendidikan ini diharap dapat membangunkan jati diri murid ke arah menjadi bakat global yang dilengkapi dengan ilmu, beretika dan berakhlak mulia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI