PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi yang menghukum penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong terhadap seorang pemuda berusia 22 tahun atas 23 pertuduhan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah adalah selamat dan harus dikekalkan.
Melalui keputusan sebulat suara yang dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama dua lagi panel iaitu Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun berpendapat berdasarkan keterangan mengikut keadaan, pendakwaan berjaya membuktikan pesalah kanak-kanak pertama (PKK1) bertanggungjawab memulakan kebakaran di sekolah berkenaan.
“PKK1 yang memulakan kebakaran atau ‘incendiary fire’, tahu bahawa perbuatannya itu berbahaya, mungkin menyebabkan kematian dan mendatangkan risiko,” katanya hakim Che Mohd. Ruzima.
Terdahulu mahkamah berkata, meskipun tiada saksi melihat PKK1 meletakkan tong gas di hadapan pintu asrama di tingkat tiga sekolah itu, mencurahkan petrol di rak kasut dan menyalakan api untuk membakar bangunan berkenaan namun ada saksi mengecam penama pertama sebagai orang yang memanjat pagar tahfiz.
“Malah (kehadiran PKK1 di tahfiz) disokong menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di bangunan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersebelahan bangunan terbakar itu. Rakaman juga diperoleh di stesen minyak dan rumah jiran penama pertama yang menunjukkan dia memegang satu botol bahan bukti,” katanya.
Selain itu panel-panel turut menyatakan, mahkamah turut menerima keterangan penemuan pemetik api yang ditunjukkan sendiri oleh penama pertama dalam bilik tidur ketika dia membawa anggota polis ke rumahnya.
Beliau berkata, ia menunjukkan PKK1 tahu pemetik api mana yang ingin digunakan dengan niat untuk memulakan kebakaran.
Tambah panel-panel itu, berdasarkan siasatan pihak forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, terdapat kesan dari bahan petrol dan tong gas yang dihala ke pintu bangunan tahfiz menjadikan punca kebakaran disengajakan.
“Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan, mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan elemen yang diperlukan untuk membuktikan kesalahan membunuh,” kata hakim Che Mohd. Ruzima.
Justeru dapatan Mahkamah Tinggi terhadap keputusan mensabitkan kesalahan terhadap PKK1 adalah selamat dan harus dikekalkan, maka rayuan perayu ditolak.
Terdahulu, perayu kekal dihukum penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Sementara panel-panel sama turut menolak rayuan pendakwa raya terhadap seorang lagi pemuda yang juga berusia 22 tahun yang merupakan PKK2 atas pertuduhan sama.
Dalam prosiding terdahulu, PKK1 merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya atas pertuduhan membunuh kesemua mangsa manakala pihak pendakwaaan merayu terhadap pembebasan PKK2.
Pada 11 Mei lalu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berhujah, mustahil kejadian kebakaran di Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat itu hanya dilakukan oleh seorang individu berdasarkan penemuan dua tong gas di tingkat atas asrama pusat tahfiz itu, enam tahun lalu.
Hujah beliau, tong gas tersebut masing-masing seberat 14 kilogram tidak mungkin mampu diangkat secara berseorangan dari tingkat bawah melalui tangga.
May Ling menghujahkan, satu tong gas diletakkan secara menegak dan satu lagi melintang sebelum petrol disimbah di hadapan pintu.
Pada prosiding rayuan 9 Mac lalu, May Ling berhujah, pihak pendakwaan bergantung kepada keterangan ikut keadaan melalui seorang penghuni pusat tahfiz itu yang melihat kepulan asap ketika terjaga awal pagi hari kejadian.
Hujah beliau, meskipun tidak dapat mengesahkan waktu kejadian, saksi berusia 17 tahun itu menyaksikan asap manakala api ketika itu belum kelihatan.
Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili kedua-dua pemuda tersebut berhujah, tiada pengecaman positif berkaitan anak-anak guamnya yang boleh dikaitkan dengan kejadian tersebut.
Pembelaan menghujahkan, tiada keterangan yang menunjukkan kedua-duanya memasuki pusat tahfiz berkenaan sebelum kebakaran berlaku.
Berhujah lanjut peguam itu mengatakan walaupun wujud perbualan ‘bila nak bakar tahfiz’, namun tiada keterangan yang menunjukkan responden kedua terlibat dalam perbualan itu.
Mengikut pertuduhan kedua-duanya yang ketika kejadian berusia 16 tahun, didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara pukul 4.15 pagi hingga pukul 6.45 pagi, pada 14 September 2017.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati.
Pada 17 Ogos 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azman Abdullah mendapati penama pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana perayu yang ketika itu berusia 16 tahun merupakan pesalah kanak-kanak.
Ini kerana berdasarkan material semasa kejadian Mahkamah Tinggi memgguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana seksyen itu menyatakan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Sementara pada 28 Januari 2020, mahkamah sama membuat keputusan melepas dan membebaskan penama kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya. – KOSMO! ONLINE