PETALING JAYA – Hukum menggunakan cuka arak dan kicap yang mengandungi alkohol dalam makanan adalah haram walaupun ia tidak memabukkan.
Penjelasan mengenai isu tersebut telah dikupas dalam sebuah video yang dimuat naik oleh Ustaz Mohd. Amri Abdullah di laman TikTok.
Menurutnya, isu tersebut bukanlah sesuatu yang baharu dan sering berlaku apabila pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan pemeriksaan di restoran cina atau makanan barat.
“Selalunya, mereka akan menggunakan kicap atau cuka arak dengan jenama sama seperti yang boleh dilihat dalam video tular sebelum ini.
“Menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun 2016, sekiranya cuka arak tersebut memang jelas ada kandungan arak walaupun ia tidak memabukkan, maka hukumnya adalah haram,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Amri sempat menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan makanan-makanan viral di luar sana sehingga sanggup beratur panjang tanpa selidik dahulu halal haramnya.
Tambahnya lagi, elakkan juga pengambilan kicap yang mengandungi sake, mirin dan sebagainya kerana hukumnya tetap haram walaupun peratusan alkoholnya rendah.
“Jangan anggap makanan yang tidak memabukkan ini halal. Mabuk atau tidak hukumnya tetap haram kerana ia (cuka arak) tergolong dalam kategori arak.
“Najis arak itu bukan disebabkan ia memabukkan atau tidak. Sekiranya ia haram, ambillah sedikit atau banyak, tetap haram,” katanya dalam video sama. – KOSMO! ONLINE