KOTA KINABALU – Pasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki cuba terjun dari tingkat lima sebuah bangunan beli-belah di Inanam petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.06 petang sebelum lapan anggota bomba bersama jentera digerakkan ke tempat kejadian.
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 23 minit untuk memujuk lelaki berusia 38 tahun itu agar turun ke tempat yang selamat.
“Lelaki terbabit berjaya dipujuk anggota bomba dan keluarga mangsa daripada terjun dari bangunan. Lelaki itu kemudiannya dibawa turun sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, operasi tamat pada pukul 3.55 petang. – KOSMO! ONLINE