fbpx

Bank Islam bina surau baru bagi kemudahan pengunjung Zoo Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Muazzam (dua, kiri) ketika merasmikan Surau Abu Hurairah yang baru dibina di Zoo Negara.-Foto SYAKIR RADIN/KOSMO!

PETALING JAYA – Dalam usaha mewujudkan keselesaan kepada pengunjung Zoo Negara yang beragama Islam, Bank Islam Malaysia Berhad hari ini telah merasmikan pembinaan semula premis surau yang lengkap dengan kemudahan untuk warga emas dan kelainan upaya.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, mengambil kira Zoo Negara sebagai destinasi pelancongan utama dan pusat pendidikan hidupan liar yang penting di negara ini, penyediaan kemudahan ibadat yang selesa perlu diberi keutamaan.

“Usaha ini penting bagi Bank Islam dalam membantu memberi kemudahan yang selesa menerusi instrumen kewangan Islam dan melihat kepada permintaan pengunjung zoo yang telah meningkat sebanyak 40 peratus pada awal tahun ini.

“Kos keseluruhan melibatkan RM180,000 ditanggung melalui dana tanggungjawab sosial korporat Bank Islam dan inisiatif kewangan sosial, Sadaqa House,” katanya kepada media selepas merasmikan Surau Abu Hurairah.

Surau Abu Hurairah telah dibina dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Malaysian Zoological Society pada satu lokasi baharu yang lebih strategik yang berdekatan dengan dataran dan restoran.

Timbalan Ketua Setiausaha (pengurusan) Kementerian Pertahanan, Dr Mohd Bakhari Ismail berkata, projek pembinaan yang melibatkan pegawai tentera itu berjaya disiapkan dalam tempoh 45 hari, lebih awal dari tempoh masa yang ditetapkan.

“Walaupun projek ini telah tertangguh dari 2020 disebabkan oleh pandemik, namun kita berjaya melaksanakan dalam tempoh yang singkat dengan usaha sama ATM melalui ‘Civil Military Cooperation’.

“Ia melibatkan kecekapan 24 anggota Pasukan 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja yang diketuai Leftenan Kolonel Norhejeri Samsudin, Mejar Haziq Abdul Jalal dan Leftenan Al Islamil Ahmad,” tambahnya.

Dalam pada itu presiden Malaysian Zoological Society, Dato Sr. Zaharin Md Arif bersyukur dengan pembinaan premis ibadat itu boleh dijadikan contoh buat organisasi lain untuk turut bekerjasama dengan pihaknya dalam masa akan datang

“Secara tidak langsung usaha pembinaan surau ini dapat dijadikan contoh buat organisasi atau institusi kewangan lain untuk turut membantu kami dalam apa jua bentuk sekalipun,” katanya.

Pembinaan surau baru itu dijangka mampu menampung kapasiti 100 orang pengunjung dalam satu masa berbanding kemudahan surau sebelum ini yang lebih usang dan tidak selamat untuk digunakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI