PUTRAJAYA – Kesemua 1,020 banduan telah dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat boleh memfailkan permohonan di mahkamah untuk membuat semakan kepada hukuman masing-masing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia berikutan daripada penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai lalu.
Katanya, Kerajaan Perpaduan akan menguatkuasakan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) mulai esok.
“Jemaah Menteri pada 30 Ogos lalu, telah bersetuju dengan mekanisme pengendalian prosiding Mahkamah berhubung dengan semakan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat yang telah dicadangkan hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan.
“Ia termasuk Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPM), Jabatan Penjara Malaysia, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Majlis Peguam Malaysia, Sabah Law Society (SLS) dan Advocates Association of Sarawak (AAS) bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jelasnya, keutamaan pelaksanaan mekanisme ini merangkumi faktor-faktor seperti umur banduan, tahap kesihatan dan tempoh pemenjaraan banduan serta pertimbangan-pertimbangan lain.
“Dalam menjamin akses kepada keadilan dan memelihara prinsip kesaksamaan, Kerajaan Perpaduan melalui mekanisme yang dipersetujui telah bersetuju supaya banduan yang dikenakan hukuman mati dan tidak berkemampuan untuk melantik peguam bagi mewakili mereka dalam proses semakan hukuman tersebut boleh mendapatkan khidmat guaman melalui peguam yang dilantik oleh Mahkamah (Court Assigned Counsel).
“Manakala, bagi banduan yang dikenakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat, mereka boleh mendapatkan khidmat guaman daripada YBGK.
“Kedua-dua perkhidmatan bantuan guaman yang ditawarkan ini mencerminkan keutamaan dan pendirian kerajaan dalam memastikan keadilan diberikan kepada semua rakyat Malaysia,” ujarnya.
Azalina berkata, penguatkuasaan Akta 847 melalui mekanisme yang telah dipersetujui oleh jemaah menteri turut mencerminkan komitmen yang tinggi oleh kerajaan dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia sejagat.
“Hal ini membuktikan bahawa prinsip ‘restorative justice’ dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia adalah sentiasa terpelihara.
“Malahan, ini juga membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan untuk memberi peluang kedua kepada banduan yang dikenakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat untuk kembali kepada masyarakat dan keluarga serta meneruskan kelangsungan hidup mereka sebagai rakyat biasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE