fbpx

Wang pinjam beli motosikal terpakai hangus terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba memadam kebakaran rumah sewa Syaliana Ayu di Kampung Kemumin, Kota Bharu, hari ini. Foto ROHANA MOHD. NAW

KOTA BHARU – Hasrat seorang suri rumah untuk membeli sebuah motosikal terpakai tidak kesampaian apabila wang tunai sebanyak RM1,000 yang dipinjam daripada ibunya hangus selepas rumah sewanya di Kampung Kemumin, di sini hari ini, musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu, Syaliana Ayu Kudus, 42, bersama enam orang anaknya berusia dalam lingkungan setahun hingga 21 tahun, sempat melarikan diri.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di dalam tandas sebelum terdengar jeritan anaknya yang melihat api di dalam sebuah bilik.

Katanya, sebaik sahaja keluar dari tandas, dia melihat api marak membakar sebahagian rumahnya sebelum terus mendukung anak bongsunya dan mengarahkan lima lagi anaknya keluar dari rumah.

“Saya bersyukur apabila kami sekeluarga selamat dalam kejadian itu meskipun tidak sempat menyelamatkan semua dokumen peribadi kami.

“Selain itu, saya juga terkilan apabila empat buah telefon dan wang tunai sebanyak RM1,000 dipinjamkan daripada ibu baru-baru ini untuk membeli motosikal terpakai, turut musnah,” katanya ketika ditemui Kosmo!, hari ini.

Syaliana Ayu yang menghidap asma memberitahu, dia mengesyaki kebakaran tersebut berpunca daripada litar pintas kerana pendawaian rumah sewanya itu sudah lama.

Menurutnya, selain itu, terdapat banyak penyambungan wayar untuk mengecas telefon dan peralatan elektrik lain di dalam bilik yang dipercayai bermulanya kebakaran tersebut.

“Ketika kejadian, suami saya tiada di rumah kerana bekerja sebagai tukang masak di Singapura dan dijangka akan pulang ke Kelantan esok atau lusa.

“Saya kini tinggal sehelai sepinggang dan akan menumpang di rumah ibu, Suriani Ismail, 59, di Kampung Tebing Tinggi, Sabak sementara mencari rumah sewa lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI